Sayyidina Ali dilahirkan pada hari Jumaat 13 haribulan Rejab, 12 tahun sebelum Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya.
Ibunya, Fatimah, telah melahirkan Sayyidina Ali di Kaabah. Ketika itu, Fatimah dan suaminya Abu Talib sedang melakukan tawaf di keliling Kaabah. Fatimah yang sarat mengandung, tiba-tiba terasa sakit hendak bersalin.
Abu Talib menyangka, Fatimah hanya keletihan maka dia membawa Fatimah berehat di dalam Kaabah sebelum meneruskan tawafnya. Di waktu itulah lahirnya Sayyidina Ali yang sangat besar jasanya sebagai Sahabat dan menantu Rasulullah, juga Amirul Mukminin bagi umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Kelahiran Sayyidina Ali hanya disaksikan oleh ayah dan ibunya saja.
Ketika umur Sayyidina Ali 6 tahun, Mekah sedang dilanda keadaan yang sukar. Orang-orang yang ramai anak, pasti terasa susahnya hendak memberi makan keluarganya. Di waktu itu Rasulullah SAW teringat jasa pamannya Abu Talib yang pernah menjaga baginda sewaktu kecil.
Kini pamannya telah tua sedangkan anak-anaknya banyak. Maka sebagai membalas jasa pamannya itu, Rasulullah yang ketika itu telah menikah dengan Siti Khadijah, telah mengambil Sayyidina Ali tinggal bersamanya.
Sejak itu Sayyidina Ali diasuh oleh baginda sendiri. Betapa besarnya kasih sayang yang dicurahkan oleh Rasulullah kepada Sayyidina Ali lantaran baginda sendiri telah kematian anak-anak lelakinya. Berada bersama keluarga Rasulullah SAW telah memberi kesan yang sangat besar kepada pertumbuhan Sayyidina Ali.
Beliau menyaksikan dan mengikuti perkembangan jiwa dan fikiran Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri yang menjadi penghubung antara Sayyidina Ali dan Allah SWT.
Di samping perjuangannya di bidang akidah, ilmu dan pemikiran, Sayyidina Ali juga terkenal sebagai seorang pemuda yang memiliki kesanggupan berkorban yang luar biasa besarnya. Ia mempunyai susunan jasmani yang sempurna dan tenaga yang sangat kuat. Sudah tentu, itu saja belum menjadi jaminan bagi seseorang untuk siap mempertaruhkan nyawanya membela kebenaran Allah dan Rasul-Nya.
Imannya yang teguh laksana gunung dan kesetiaannya serta kecintaanya yang penuh kepada Allah dan Rasul-Nya, itulah yang menjadi pendorong utama. Sayyidina Ali tidak pernah menghitung-hitung risiko dalam perjuangan suci menegakkan Islam. Dengan jasmani yang tegap dan kuat, serta iman yang kukuh dan mantap, Sayyidina Ali benar-benar memenuhi syarat-syarat fizikal dan rohaniah untuk menghadapi tahap-tahap perjuangan yang serba berat.
Di saat-saat Islam dan kaum muslimin berada dalam situasi yang kritis dan gawat, Sayyidina Ali selalu tampil memainkan peranan penting. Selama hidup, beliau tidak pernah mengalami hidup senang. Sejak muda remaja sampai akhir hayatnya, dia keluar masuk dari satu kesulitan kepada satu kesulitan lain. Dari satu pengorbanan kepada satu pengorbanan yang lain pula.
Namun demikian, beliau tidak pernah menyesali nasib, bahkan dengan semangat pengabdian yang tinggi kepada Allah dan Rasul-Nya, beliau sentiasa siap siaga menghadapi segala rintangan. Satu-satunya perkara yang menjadi keinginannya siang dan malam, hanyalah ingin memperoleh keredhaan Allah dan Rasul-Nya.
Kesenangan hidup duniawi baginya tidak penting dibandingkan dengan cinta dan redha dari Allah dan Rasul-Nya yang dijanjikan untuk hamba-Nya yang berani hidup di atas jalan kebenaran. Berkali-kali imannya yang teguh diuji oleh Rasulullah SAW. Setiap kali diuji, setiap kali itu juga Sayyidina Ali lulus dengan meraih derajat yang amat tinggi.
Ujian pertama yang maha berat ialah yang terjadi pada ketika Rasulullah SAW menerima perintah Allah SWT supaya berhijrah ke Madinah. Seperti diketahui, di satu malam yang gelap-gelita, komplot kafir Quraisy mengepung kediaman Rasulullah SAW dengan tujuan hendak membunuh baginda, bilamana baginda meninggalkan rumah.
Dalam peristiwa ini, Sayyidina Ali memainkan peranan besar. Beliau diminta oleh Rasulullah SAW supaya tidur di atas kasur baginda dan menutup tubuhnya dengan selimut baginda untuk mengaburi mata orang-orang Quraisy. Tanpa tawar-menawar, Sayyidina Ali menyanggupinya. Ia menangis bukan mencemaskan nyawanya sendiri, tetapi kerana bimbangkan keselamatan Rasulullah SAW yang saat itu berkemas-kemas hendak berhijrah meninggalkan kampung halaman.
Melihat Sayyidina Ali menangis, maka Rasulullah bertanya, Mengapa engkau menangis? Apakah engkau takut mati?
Sayyidina Ali r.a dengan tegas menjawab, Tidak, ya Rasulullah! Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran, aku sangat khuatir terhadap dirimu. Apakah anda akan selamat, ya Rasulullah?
Ya, jawab Nabi Muhammad SAW dengan tidak ragu-ragu. Mendengar kata-kata yang pasti dari Rasulullah SAW., Sayyidina Ali terus berkata, Baiklah, aku patuh dan kutaati perintahmu. Aku rela menebus keselamatan anda dengan nyawaku, ya Rasulullah!
Sayyidina Ali r.a segera menghampiri kasur Rasulullah SAW kemudian menggunakan selimut baginda untuk menutupi tubuhnya. Ketika itu orang-orang kafir Quraisy sudah mula berdatangan di sekitar rumah Rasulullah SAW dan mengepungnya dari setiap penjuru.
Dengan perlindungan Allah SWT dan sambil membaca ayat 9 surah Yasin, baginda keluar tanpa diketahui oleh orang-orang yang sedang mengepung dan mengintip. Orang-orang Quraisy itu menyangka, bahawa orang yang sedang berbaring dan berselimut itu pasti Nabi Muhammad SAW. Mereka yang mengepung itu mewakili suku-suku kabilah Quraisy yang telah bersepakat hendak membunuh Nabi Muhammad SAW dengan pedang secara serentak. Dengan cara demikian, tidak mungkin Bani Hasyim dapat menuntut balas.
Sayyidina Ali tahu apa kemungkinan yang akan menimpa dirinya yang tidur di kasur Rasulullah SAW. Hal itu sama sekali tidak membuatnya sedih atau takut. Dengan kesabaran yang luar biasa beliau berserah diri kepada Allah SWT. Beliau yakin, bahwa Dialah yang menentukan segala-galanya.
Menjelang subuh, Sayyidina Ali kwjbangun. Gerombolan Quraisy terus menyerbu masuk ke dalam rumah. Dengan suara membentak mereka bertanya, Mana Muhammad? Mana Muhammad?
Aku tak tahu di mana Muhammad berada! jawab Sayyidina Ali dengan tenang.
Gerombolan Quraisy itu segera mencari-cari di seluruh rumah itu. Usaha mereka sia-sia belaka. wajah-wajah kafir Quraisy itu benar-benar kecewa. Mana Muhammad? Mana Muhammad? mereka mengulangi pertanyaan.
Apakah kamu semua melantik aku menjadi penjaganya? ujar Sayyidina Ali dengan nada memperolok-olok.
Bukankah kamu semua berniat mengeluarkannya dari negeri ini? Sekarang dia sudah keluar meninggalkan kamu semua!
Ucapan Sayyidina Ali sungguh-sungguh menggambarkan ketabahan dan keberanian hatinya. Cahaya pedang terhunus yang berkilauan, sama sekali tidak dihiraukan, bahkan orang-orang Quraisy itu dicemuhkan. Seandainya ada seorang saja dari gerombolan itu mengayunkan pedang ke arah Sayyidina Ali , entah apa yang terjadi. Tetapi Allah tidak menghendaki hal itu.
Keesokan harinya, Sayyidina Ali berkemas-kemas mempersiapkan segala keperluan untuk berangkat membawa beberapa orang wanita Bani Hasyim, terutama Siti Fatimah r.a menyusul perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam hijrahnya ke Madinah.
Rombongan Sayyidina Ali berangkat secara terang-terangan di siang hari. Setibanya di Dhajnan, berlaku keadaan yang sungguh mencemaskan antara kaum muslimin dan kaum musyrikin. kaum musyrikin telah berusaha menghalang rombongan Sayyidina Ali dari meninggalkan Kota Mekah.
Sayyidina Ali yang ketika itu berusia 26 tahun, merupakan orang pertama yang menghunus pedang untuk mematahkan serangan bersenjata orang-orang kafir Quraisy. Dengan beraninya, beliau mengayunkan pedang ke arah seorang musyirikin bernama Jenah yang berada di atas kudanya. Terbelahnya tubuh Jenah menjadi dua. Melihatkan keadaan itu, larinya 7 orang dari pasukan berkuda Quraisy yang sebelum itu mengejar rombongan Sayyidina Ali. Dengan keberanian Sayyidina Ali itu, selamatlah rombongan kaum muslimin itu.
Ketika Perang Badar, yang merupakan perang pertama yang terpaksa di arungi oleh kaum muslimin menghadapi musuh yang jauh lebih besar jumlahnya, untuk pertama kalinya panji perang Rasulullah SAW berkibar di medan pertempuran. Orang yang diberi kepercayaan memegang panji yang melambangkan tekad perjuangan menegakkan agama Allah SWT itu ialah Sayyidina Ali bin Abi Thalib
.
Tanpa pengalaman perang sama sekali dan dengan kekuatan pasukan yang hanya sepertiga kekuatan musuh, pasukan muslimin dengan iman yang teguh berjaya mencipta sejarah yang sangat menentukan perkembangan Islam seterusnya. Senjatan kaum muslimin waktu itu boleh dibilang dengan jari. kaum muslimin juga tidak memiliki pasukan berkuda dan penunggang unta, iaitu pasukan yang dipandang paling ampuh pada masa itu. Begitu juga jumlah kuda dan unta berbanding jumlah pasukan yang ada, sehingga seekor unta ditunggang oleh dua hingga empat secara bergantian. Hanya ada seekor kuda yang tersedia, iaitu yang ditunggang oleh Miqdad bin Al Aswad Al Kindiy. Itulah kekuatan lahiriah pasukan Rasulullah SAW di dalam perang Badar.
Dalam perang Badar itu pasukan muslimin tidak sedikit yang menerjang musuh hanya dengan senjata-senjata tajam yang sangat sederhana. Sedangkan musuh yang dilawan mempunyai senjata lengkap dengan kuda-kuda tunggangan dan unta-unta. Tetapi sebenarnya kaum muslimin mempunyai senjata yang lebih ampuh berbanding lawannya, iaitu kepimpinan Rasulullah SAW dan kepercayaan kuat bahawa Allah pasti akan memberikan pertolongan-Nya. Allahu Akbar.
Ketika peperangan mula berkobar, Sayyidina Ali bersama Hamzah bin Abdul Mutalib dan beberapa orang lainnya, berada di barisan hadapan. Pada tangan Sayyidina Ali r.a berkibar panji perang Rasulullah SAW. Beliau terjun ke medan perang menerjang pasukan musuh yang jauh lebih besar dan kuat. Dalam perang ini untuk pertama kalinya kalimah Allahu Akbar berkumandang menyuburkan tekad pasukan muslimin. Saat itu terdengar suara musuh menentang, Wahai Muhammad, suruhlah orang-orang yang berwibawa yang berasal dari Quraisy supaya tampil!
Mendengar ucapan itu, laksana singa lapar, Sayyidina Ali r.a meloncat marah ke depan mendekati suara itu. Terjadilah perang satu lawan satu antara Sayyidina Ali r.a dengan Al Walid bin Utbah, saudara Hindun isteri Abu Sufyan. Dalam pertempuran yang sengit itu, Al Walid mati di hujung pedang Sayyidina Ali . Dalam perang Badar ini, 70 orang pasukan kafir Quraisy mati terbunuh, dan hampir separuhnya mati di hujung pedang Sayyidina Ali Selain itu, lebih dari 70 orang pemuka Quraisy berjaya ditawan dan dibawa ke Madinah. Perang Badar yang berakhir dengan kemenangan kaum muslimin itu merupakan fajar pagi yang menandakan sinar agama Allah SWT akan mulai memenuhi bumi.
Dalam peperangan yang kedua yakni Perang Uhud, Rasulullah SAW menyerahkan panji kaum muhajirin kepada Sayyidina Ali r.a. Sedangkan panji kaum Ansar diserahkan kepada salah seorang di antara mereka sendiri. Peperangan Uhud terkenal dalam sejarah sebagai peperangan yang amat gawat. 700 pasukan muslimin harus berhadapan dengan 3000 pasukan kafir Quraisy yang dipersiapkan dengan bekalan dan senjata serba lengkap. Selain itu diperkuat pula dengan pasukan wanita di bawah pimpinan Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan bin Harb, untuk memberikan dorongan moral agar orang-orang kafir Quraisy jangan sampai lari meninggalkan medan perang.
Untuk menghadapi kaum musyrikin yang sudah memusatkan kekuatan di Uhud, pasukan muslimin di bawah pimpinan Rasulullah SAW menuju ke tempat itu, dengan melalui jalan singkat sehingga gunung Uhud berada di belakang mereka. Kemudian Rasulullah SAW mulai mengatur barisan. 50 orang pasukan pemanah ditempatkan di sebuah lembah di antara dua bukit. Kepada mereka diperintahkan supaya menjaga pasukan yang ada di belakang mereka. Ditekankan jangan sampai meninggalkan tempat, walau dalam keadaan apa sekalipun. Sebab hanya dengan senjata panah sajalah serbuan pasukan berkuda musuh dari belakang dapat ditahan.
Perang Uhud mula berkobar dengan tampilnya Sayyidina Ali ke depan menghadapi tentangan Talhah bin Abi Talhah yang menyeru dengan suara lantang, Siapakah yang akan ke depan berlawan satu dengan satu?
Seperti api disiram dengan minyak, semangat Sayyidina Ali membara. Dengan ayunan langkah tegap dan tenang, serta sambil mengetap giginya, beliau marah dengan pedang terhunus. Baru saja Talhah bin Abi Talhah menggerakkan tangan hendak mengayun pedang, secepat kilat pedang Sayyidina Ali r.a Dzul Fikar menyambarnya hingga terbelah dua. Betapa bangga Rasulullah SAW menyaksikan ketangkasan putera pamannya itu. Ketika itu kaum muslimin yang menyaksikan ketangkasan Sayyidina Ali mengumandangkan takbir masing-masing.
Dengan tewasnya Talhah bin Abi Talhah, pertarungan sengit berkecamuk antara dua pasukan. Sekarang Abu Dujanah tampil dengan memakai ikatan maut di kepala dan pedang terhunus di tangan kanan yang baru saja diserahkan oleh Rasulullah SAW kepadanya. Dia seorang yang sangat berani. Laksana harimau keluar dari semak belukar ia maju menyerang musuh dan membunuh siapa saja dari kaum musyrikin yang berani mendekatinya. Bersama Abu Dujanah, Sayyidina Ali menghuru-harakan barisan musuh.
Dalam pertempuran ini, Hamzah bin Abdul Mutalib tidak kalah semangat dengan putera saudaranya sendiri, Sayyidina Ali dan Abu Dujanah. Hamzah begitu lincah dan tangkas menerobos pasukan musyrikin dan menewaskan setiap orang yang berani menghampiri. Ia terkenal sebagai pahlawan besar dalam menghadapi musuh. Sama seperti dalam perang Badar, dalam perang Uhud ini, Hamzah benar-benar menjadi singa dan merupakan pedang Allah yang sangat ampuh. Banyak musuh yang mati di hujung pedangnya.
Dalam pertempuran antara 700 pasukan muslimin melawan 3000 pasukan musyrikin itu, kita saksikan gabungan kekuatan rohaniah dan lahiriah Sayyidina Ali Hamzah dan Abu Dujanah. Suatu kekuatan yang membuat pasukan Quraisy menderita.
Sayang seribu kali sayang. Ketika tentara Muslimin hampir menang, mereka tergoda dengan harta rampasan perang yang banyak. Pasukan memanah terlupakan pesanan Rasulullah SAW agar tidak meninggalkan posisi mereka. Mereka turun dari bukit untuk mengambil harta-harta yang ditinggalkan tentera musyrikin. Waktu itulah pihak musuh kembali menyusun barisan dan memulai serangan ke atas tentera Islam yang sedang terlena.
Keadaan kembali gawat. Barisan tentera Islam telah bercerai-berai, terpisah dari pimpinan Rasulullah SAW. Di saat-saat genting itu, Sayyidina Ali dan para Sahabat lainnya segera melindungi Rasulullah SAW. Dengan segenap kekuatan yang ada, mereka menangkis setiap serangan yang datang demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Semua sudah bertekad untuk mati syahid, lebih-lebih lagi setelah melihat Rasulullah SAW terkena lemparan batu besar yang dicampakkan oleh Utbah bin Abi Waqash. Akibat lemparan batu itu, geraham Rasulullah SAW patah, wajahnya pecah-pecah, bibirnya luka parah dan dua kepingan rantai topi besi melindungi wajah baginda menembus pipinya.
Setelah dapat menguasai diri kembali, Rasulullah SAW berjalan perlahan-lahan dikelilingi oleh sejumlah Sahabat. Tiba-tiba baginda terperosok ke dalam sebuah liang yang sengaja digali oleh Abu Amir untuk menjebak pasukan muslimin. Sayyidina Ali bersama beberapa orang Sahabat lainnya cepat-cepat mengangkat baginda. Kemudian dibawa naik ke gunung Uhud untuk diselamatkan dari diburu musuh. Di celah-celah bukit, Sayyidina Ali mengambil air untuk membasuh wajah Rasulullah SAW dan menyirami kepala baginda. Dua buah kepingan rantai besi yang menancap dan menembusi pipi baginda dicabut oleh Abu Ubaidah bin Al Jarrah dengan giginya, sehingga dua batang gigi depannya tertanggal.
Demikian sebagian rentetan perjuangan Sayyidina Ali yang turut terjun ke medan peperangan bersama Rasulullah SAW. Sayyidina Ali terkenal sebagai seorang yang sangat pemurah. Sewaktu hidupnya, beliau yang miskin, sangat suka membantu janda-janda dan anak-anak yatim tanpa pengetahuan mereka. Beliau selalu meletakkan makannan di pintu-pintu rumah mereka di waktu malam.
Setelah beliau meninggal, barulah mereka tahu bahawa selama ini mereka mendapat makanan dari Sayyidina Ali karna setelah beliau tiada maka mereka tidak lagi mendapat makanan di pintu rumah mereka.
Sayyidina Ali adalah seorang Sahabat Rasulullah SAW yang sangat cerdik dan luas ilmunya. Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa Sayyidina Ali adalah gudang ilmu. Setelah kewafatan Khalifah ketiga yakni Khalifah Uthman Ibnu Affan maka Sayyidina Ali dilantik sebagai Khalifah yang keempat.
Kata Sayyidina Ali: Allah SWT mengetahui betapa aku tidak suka memimpin pemerintahan atau memegang kekuasaan di kalangan umat Nabi Muhammad SAW sebab aku mendengar sendiri baginda bersabda, ” Tidak ada seorang penguasa pun yang memerintah umatku, yang kelak tidak akan dihadapkan kepada rakyatnya, untuk diperlihatkan catatan-catatan perbuatanya. Jika dia seorang yang adil, maka selamatlah. Tapi jika dia seorang yang berlaku zalim, akan tergelincirlah ke dalam Neraka.
Allah SWT mentakdirkan Sayyidina Ali meninggal dunia pada 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah. Ketika beliau sedang berjalan menuju ke masjid untuk sholat Subuh, tiba-tiba muncul Abdul Rahman bin Muljam dengan pedang terhunus. Pedang itu telah mencederakan Sayyidina Ali dengan parah hingga beliau jatuh.
Sayyidina Ali kemudiannya telah diusung pulang ke rumahnya oleh Sahabat. Ketika itu ramai yang ingin membalas dendam tetapi Sayyidina Ali sendiri dengan lapang dada dan ikhlas langsung tidak menyebut tentang balas dendam. Umat Islam merasa sedih melihat keadaan sayyidina Ali yang semakin lemah.
Sayyidina Ali tahu bahwa sudah hampir masanya untuk beliau menyusuli Rasulullah SAW dan tiga orang Khalifah baginda sebelum ini.
Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu, Sayyidina Ali sempat berwasiat:
Ku wasiatkan kepada kamu supaya tetap bertaqwa kepada Allah. Janganlah kamu mengejar-ngejar dunia walau dunia mengejar kamu dan janganlah menyesal jika ada sebagian dunia itu terlepas darimu. Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kamu dan jagalah hubungan persaudaraan antara kalian. Ketahuilah, pertengkaran itu merusakkan agama dan ingatlah bahwa tidak ada kekuatan apa pun selain atas perkenan Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. Perhatikan Al Quran, jangan sampai kamu mendahulukan orang lain dalam mengamalkannya. Perhatikan tetangga kamu sebab mereka adalah wasiat Nabi kamu.
0 komentar:
Posting Komentar
saya berharap anda mau meninggalkan komentar anda, Agar semakin banyak yang melihat postingan ini, Dan anda sudah membantu menyebarkan walau hanya satu ayat,